BEIJING - Kajian terbaharu di China mendapati penggunaan Internet  secara berlebihan oleh golongan remaja boleh menyebabkan otak mereka  mengecut, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian berkenaan yang disiarkan jurnal sains, PLoS ONE menyatakan, kematian tisu otak berlaku di kalangan remaja yang ketagih melayari Internet.
Keadaan itu boleh membawa kepada kemerosotan daya tumpuan dan ingatan  selain mengurangkan perasaan malu golongan remaja untuk melakukan  perbuatan tidak sihat. Kajian tersebut melibatkan penggunaan mesin  pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk merakam imej otak 18 pelajar  universiti berusia 18 tahun yang melayari internet selama 13 jam sehari,  enam kali seminggu.
Kumpulan penyelidik berkenaan membandingkan imej MRI tersebut dengan  imej MRI kumpulan pelajar yang melayari internet cuma dua jam sehari.
Selepas perbandingan dibuat, mereka mendapati korteks atau bahagian  kelabu pada otak 18 pelajar yang ketagih Internet itu mengecut  berbanding rakan mereka yang kurang melayari internet.
"Kajian kami membayangkan ketagihan Internet pada jangka panjang  boleh membawa kepada kemerosotan struktur otak," kata kumpulan  penyelidik itu.
Bahagian korteks otak berfungsi untuk memproses ingatan, emosi,  pertuturan, penglihatan dan pendengaran di samping mengawal pergerakan  anggota manusia.
Kajian itu dilakukan oleh sekumpulan pakar neurologi dan radiologi beberapa universiti dan hospital di China.
Dianggarkan seramai 24 juta remaja negara berkenaan ketagih melayari Internet. - Agensi 
Sumber: Kosmo 
 : fuhh..nasib baik tak ketagih blog dan facebook hahaha...

