SOALAN:
Ketika bersembang dengan rakan-rakan, ramai yang
mengutarakan masalah yang sama iaitu perut semakin buncit selepas
berkahwin. Saya ingin bertanya, adakah perut buncit merupakan masalah
kesihatan? Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini.
-Zubir, Kelantan.Saudara Zubir,
Terima kasih atas soalan yang saya kira sangat penting untuk
diketahui ramai, sama ada kaum lelaki mahupun kaum wanita. Mungkin
disebabkan cara kehidupan kita yang tidak aktif ditambah dengan
pemakanan yang tidak sihat, maka berlakulah masalah perut buncit ini.
Ramai orang kerap bergurau dengan mengatakan perut buncit ini tanda
bahagia atau tanda kemewahan tetapi yang pastinya perut buncit telah
terbukti secara saintifik berkait rapat dengan banyak masalah kesihatan
termasuklah masalah jantung. Lemak yang terkumpul di perut boleh
diumpamakan lemak (viseral) di dalam organ-organ dalam badan termasuklah
hati, jantung dan sebagainya.
Semakin buncit perut menandakan seseorang itu semakin tidak sihat.
Ukuran lilit yang ideal bagi kaum lelaki ialah 90 sentimeter dan bagi
wanita ialah 80 sentimeter.
Ukuran ini perlu dilakukan oleh pengamal perubatan atau mereka yang
mengetahui teknik ukuran tersebut. Pergilah berjumpa dengan doktor atau
jururawat bagi mendapatkan ukuran lilit perut saudara.
Perut buncit merupakan kriteria utama sebelum seseorang itu
dilabelkan mendapat sindrom metabolik yang berkait rapat dengan
penyakit-penyakit seperti diabetes mellitus, hipertensi, masalah jantung
dan sebagainya. Tidak ada cara selain menjaga pemakanan yang baik dan
melakukan senaman secara konsisten bagi mengatasi masalah perut buncit.
Mungkin cara sedutan lemak atau 'liposuction' boleh dilakukan tetapi
kesannya adalah tidak berkekalan jika tidak mengamalkan cara hidup yang
sihat. Semoga kita sama-sama berazam agar perut kita tidak buncit dan
seterusnya mendapat kesihatan yang berkekalan, Insya-Allah.
Bahagia ke?